Pengeluaran Baru KWSP 2026 Telah Berkuatkuasa : Semak Inisiatif Baru KWSP & Syarat Kelayakan Pengeluaran

Melalui Belanjawan 2026 tempoh hari,kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif baru KWSP 2026 yang bertujuan untuk memperkukuh simpanan persaraan dan menyesuaikan perlindungan sosial ahli dengan kos sara hidup semasa.
Untuk info terkini dan maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif KWSP terbaru, sila rujuk portal rasmi KWSP di pautan berikut
Perubahan ini akan mula berkuatkuasa Januari 2026. Rujuk info penuh di bawah.
Senarai Pengeluaran Baru KWSP 2026
Berikut adalah senarai inisiatif baharu KWSP bagi tahun 2026 yang telah dikemas kini untuk memperkukuh keselamatan sosial ahli:
Peningkatan Had Pengeluaran KWSP untuk Haji
Mulai 1 Januari 2026, KWSP telah meningkatkan had maksimum Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 bagi membantu ahli menampung kos ibadah haji yang semakin meningkat.
Amaun yang dibenarkan adalah mengikut jumlah yang lebih rendah antara RM10,000 atau baki sedia ada dalam Akaun Sejahtera ahli.
Peningkatan ini membolehkan ahli menggunakan simpanan mereka dengan lebih fleksibel untuk keperluan kewangan semasa tanpa mengabaikan perlindungan jangka panjang.
Syarat Kelayakan:
- Ahli mestilah warganegara Malaysia yang beragama Islam dan berumur di bawah 55 tahun.
- Ahli wajib menerima surat tawaran dengan status “DIPILIH” daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk menunaikan haji pada tahun semasa.
- Kemudahan ini hanya dibenarkan sekali sahaja seumur hidup. Ahli yang telah membuat pengeluaran haji sebelum tahun 2026 tidak layak untuk memohon amaun tambahan di bawah had baharu ini.
- Syarat pengesahan baki minimum dalam akaun simpanan Tabung Haji telah dimansuhkan mulai Januari 2026 untuk memudahkan urusan permohonan dan perancangan ahli.
Kaedah Permohonan: Ahli perlu hadir ke pejabat KWSP terdekat dengan membawa MyKad dan surat tawaran asal daripada LTH. Proses permohonan kini lebih ringkas di mana ahli hanya perlu menurunkan cap ibu jari tanpa perlu mengisi borang fizikal yang rumit.
Bayaran Balik: Sekiranya ahli membatalkan atau menangguhkan pemergian haji setelah wang dikeluarkan, jumlah penuh tersebut wajib dipulangkan semula ke dalam akaun KWSP.

Inisiatif I-Saraan Plus (Ekonomi Gig)
Inisiatif i-Saraan Plus yang diperkenalkan mulai 1 Januari 2026 merupakan penambahbaikan khusus kepada skim i-Saraan sedia ada.
Ia direka khas untuk memperkukuh keselamatan sosial pemandu e-hailing dan p-hailing.
Di bawah skim ini, ahli yang layak akan menerima insentif padanan kerajaan sebanyak 20% daripada jumlah caruman sukarela tahun semasa, dengan had maksimum sehingga RM600 setahun.
Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding kadar i-Saraan biasa (maksimum RM500 setahun). Selain itu, terdapat had insentif seumur hidup sebanyak RM6,000 atau sehingga ahli mencapai usia 60 tahun.
Syarat Kelayakan i-Saraan Plus:
- Terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
- Ahli mestilah berumur di bawah 60 tahun.
- Khusus untuk individu yang bekerja sebagai pemandu e-hailing atau p-hailing (penghantar makanan/barangan).
- Ahli perlu berdaftar di bawah skim i-Saraan terlebih dahulu.
- Caruman mestilah dibuat melalui penyedia perkhidmatan (platform) di bawah sektor e-hailing atau p-hailing untuk melayakkan diri menerima insentif padanan tersebut.
- Bagi mendapatkan insentif penuh RM600 setahun, ahli perlu mencarum sekurang-kurangnya RM3,000 dalam tempoh setahun di bawah skim i-Saraan Plus.

Peningkatan Had Umur I-Suri
Mulai Januari 2026, had umur kelayakan untuk menerima insentif padanan kerajaan di bawah program ini telah dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun.
Perubahan ini membolehkan suri rumah yang berdaftar terus mencarum dan menikmati sumbangan tambahan daripada kerajaan bagi tempoh lima tahun lebih lama, sekali gus membantu membina simpanan hari tua yang lebih kukuh dalam Akaun Persaraan mereka.
Syarat Kelayakan:
- Warganegara Malaysia
- Berumur di bawah 60 tahun
- Membuat caruman minimum ke dalam akaun KWSP (sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun)
- Terdiri daripada individu yang berdaftar dalam Sistem eKasih sebagai Ketua Isi Rumah (KIR) atau Isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin atau miskin tegar.
- Melalui pelanjutan umur ini, matlamat KWSP adalah untuk mengurangkan jurang perlindungan antara jantina dan memastikan suri rumah tidak terpinggir daripada jaringan keselamatan sosial negara walaupun selepas melewati usia 55 tahun.

Pengeluaran Melebihi RM1 Juta
Penanda aras simpanan baharu diperkenalkan: RM390,000 (Asas), RM650,000 (Mencukupi), dan RM1.3 juta (Dipertingkatkan).
Tujuan: Memberi panduan lebih jelas kepada ahli tentang jumlah simpanan yang diperlukan untuk sara hidup selepas bersara.

Caruman Sukarela I-Simpan & I-Topup
Caruman sukarela dipermudahkan dengan nama i-Simpan (caruman pilihan sendiri) dan i-Topup (caruman melebihi kadar berkanun 11%).
Tujuan: Memupuk tabiat menambah simpanan secara konsisten melalui sistem yang lebih mesra pengguna.

Maklumat Lanjut
Untuk info terkini dan maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif KWSP terbaru, sila rujuk portal rasmi KWSP di pautan berikut: https://www.kwsp.gov.my/ dan https://ecentral.my/senarai-inisiatif-baru-kwsp-2026/
Soalan Lazim Pengeluaran Baru KWSP 2026
| Soalan | Jawapan Ringkas |
|---|---|
| Jumlah maksimum pengeluaran KWSP untuk Haji | Sehingga RM10,000 daripada Akaun Sejahtera |
| Perlu pengesahan baki Tabung Haji? | Tidak perlu (syarat telah dimansuhkan) |
| Baki minimum sebelum pengeluaran lebihan | RM1.1 juta bermula Januari 2026 |
| Caruman pekerja asing | Wajib mencarum pada kadar tetap 2% |
| i-Saraan Plus | Insentif kerajaan hingga RM600 setahun (had seumur hidup RM6,000) |
| Kelayakan umur i-Suri | Boleh mencarum sehingga umur 60 tahun |
| Had pengeluaran simpanan tinggi (RIA) | RM1.1 juta (2026) → RM1.2 juta (2027) → RM1.3 juta (2028) |
